Sindrom Ibu Bapa Diktator

Adakah kita pernah memaksa anak supaya mereka mengikut perintah dan arahan kita? Memaksa anak mengambil barang itu dan ini, memaksa anak menghabiskan makanan di dalam pinggan, memaksa anak belajar dan sebagainya. Sebenarnya individu yang memaksa anak adalah individu diktator. Ibu bapa yang suka mengarah anak adalah ibu bapa yang melakarkan masa hadapan anak dengan gaya hidup bermasalah.

 

Masya Allah, sekiranya ilmu ini tidak saya ketahui mungkin selamanya saya akan mencorakkan anak-anak dengan didikan yang salah. Selama ini saya selalu jadi ibu yang diktator. Saya memaksa mereka mengikut arahan tanpa memberikan pilihan buat mereka.

Anak-anak harus diberi pilihan. Sekiranya anak suka makan ayam, mereka tidak harus dipaksa makan sotong. Apabila kita hanya tahu memaksa anak-anak kita menjadikan hidupnya di bawah zon pemikiran ibu bapa. Kita tidak boleh memaksa anak mengikuti peta kehidupan yang telah kita lukis.

Melarang Sesuatu Yang Kita Sendiri Melakukannya

Menyuruh anak minum duduk sedangkan kita sendiri minum berdiri. Sangat malu besar kan! Amat malu apabila kita menyuruh anak solat sedangkan kita sedang asyik menonton tv.

Allah menjelaskan dalam surah Al-Baqarah ayat 44 yang bermaksud, “mengapa kamu suruh orang lain mengerjakan kebaikan, sedangkan kamu melupakan diri kamu sendiri, padahal kamu membaca kitab (Taurat) Maka tidakkah kamu berfikir?”

Amat malang bagi seorang ibu yang mengajar anaknya supaya berkata-kata dengan nada perlahan, lembut dan sopan sedangkan ibu itu sendiri yang menjerit dan berkata kasar pada anak. Minta dijauhkan bukan?

Perbaiki Diri Sendiri Dahulu

Sudah menjadi perumpamaan, sesiapa yang hendak mengubah ataupun mengarahkan orang lain maka dia harus mengubah ataupun mengarahkan diri sendiri terlebih dahulu. sekiranya kita ingin melihat anak kita berperilaku baik, kita perlu berusaha memperbaiki diri sendiri terlebih dahulu. Bagaimana anak ingin menjadi anak yang baik sekiranya ibu ataupun bapa sendiri tidak menunjukkan contoh teladan yang baik. Betul tak?

Orang yang tidak berpunya tidak memberi. Apa yang hendak kita berikan sedangkan kita sendiri tidak memiliki? Apabila kita tidak memiliki kebaikan diri,mungkinkah kita menularkan sifat tidak baik itu kepada anak sendiri?

Kebaikan ibu bapa adalah pendidikan langsung daripada ibu bapa kepada anak. Ibu bapa memberikan contoh terbaik dan anak mencontohinya.

Kita harus memberi kebebasan berfikir kepada anak-anak, membuatkan anak-anak menghormati dan menyayangi kita. Ibu bapa perlu berfikiran terbuka dan belajar memahami kemahuan anak-anak. Didik anak-anak supaya mereka tahu ke mana hala tuju hidup yang benar.

Saya juga bukan ibu yang sempurna masih tercari-cari ilmu dalam mendidik anak-anak. Mendidik anak tanpa ilmu umpama berjalan tanpa peta. Sesat entah ke mana. Ibu bapa  entah ke mana, anak-anak entah ke mana.

Diari Ibu 3A ~ AnieyYusoff.com

013.777.3122

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

TrackBack URL

http://anieyyusoff.com/sindrom-ibu-bapa-diktator/trackback/

PAGE TOP