3 Jenis GST Yang Kita Wajib Ambil Tahu

Isu GST (good service tax) memang hangat diperkatakan sejak April yang lalu. Pelbagai pendapat disuarakan. Tapi saya bukan nak katakan tentang GST itu tapi tentang GST yang paling bermanfaat untuk kita di akhirat nanti. Sapa tak ambil tahu sangat rugi

1. Generasi Sayang Tuhan

Anak-anak kita sekarang adalah tonggak kepada masa depan negara. Buruknya akhlak mereka masa kini maka begitulah mereka akan mencorakkan negara dengan nilai agama yang mereka bawa dari sekarang.

Insan yang paling bertanggungjawab mendidik generasi sekarang adalah ibu dan bapa sendiri bukan guru, bukan pengasuh, bukan sesiapa. Dan pembentukan rohani untuk mengenal Allah bermula di rumah.

Jadi, apa yang ibu bapa perlu lakukan?

  • Didiklah rohani anak-anak sejak dari dalam kandungan lagi. Amalkan perkara-perkara yang diperintahkan Allah dan tinggalkan laranganNya
  • Pastikan anak2 kita sentiasa mendirikan solat dan menjaga ibadah-ibadah wajib yang lain
  • Hidupkan dalam rumah kita Biah Islamiyyah (suasana keislaman) seperti membaca al-quran, solat sunat, budaya memberi salam, praktikkan adab-adab islam di dalam rumah
  • Tanamkan kepada anak-anak kita sikap cintakan ilmu dan majlis ilmu
  • Seringlah bangun sepertiga malam untuk mendirikan solat solat sunat dan mendoakan kesejahteraan keluarga. Sebutlah nama anak secara spesifik untuk doa lebih berkesan.
  • Selepas solat lima waktu, amalkan doa dari surah al-Furqan-74 yang bermaksud         “ Tuhan kami, Anugerahkanlah kami isteri-isteri dan keturunan kami yang menyenangkan hati, dan jadikan kami imam bagi orang yang bertakwa” dan surah Ibrahim ayat 40 yang bermaksud: “ Wahai Tuhanku, Jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang menegakkan solat. Wahai Tuhanku! Kabulkanlah doa kami.”
  • Ketika memasak, sentiasa basahkan lidah dan bacakan doa Surah Al- Imran ayat 200 yang bermaksud: “ Hai orang-orang yang beriman! Sabarlah dan lawanlah sabar, dan bersedialah dan berbaktilah kepada Allah supaya kamu mendapat kejayaan.”

Baca juga artikel >> Tips Mendidik Anak Pintar Dan Hebat

2. Golongan Solat Tahajjud

Amatlah beruntung pada mereka yang selalu mengambil peluang untuk bertahajjud kepada Allah.

Solat Tahajjud adalah solat malam yang dilaksanakan setelah bangun tidur, afdalnya dibuat secara bersendirian waktu selepas tengah malam. Solat sunat ini amat dituntut dan sangat baik dilakukan sebagai ibadah tambahan. Rasulullah SAW dan para sahabat tidak meninggalkan solat ini sepanjang hayat mereka.

Firman Allah SWT :

“Dan pada sebahagian malam hari bersolat Tahajjudlah kamu sebagai suatu ibadat tambahan bagimu; Mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.”
(Surah Isra’; ayat 79)

Tujuan Solat Tahajjud

  1. Sebagai petanda perhambaan kepada Allah SWT.
  2. Mendekatkan seorang hamba dengan Penciptanya
  3. Tanda kesyukuran manusia di atas nikmat kurniaan Allah SWT.
  4. Menguatkan jiwa dan ketaqwaan seseorang kepada Allah SWT.
  5. Mendapatkan ketenangan dalam menghadapi cabaran dan dugaan hidup.

Cara Mendirikan Solat Tahajjud

Solat Tahajjud dilakukan tiada had rakaatnya, mengikut kesanggupan dan kemampuan, dengan setiap dua rakaat satu salam. Jika dirasakan berat memadailah sekadar dua rakaat tetapi dilakukan secara berterusan setiap malam.

Rasulullah SAW telah bersabda,:  “Amalan yang disukai oleh Allah, adalah yang terus menerus (istiqamah) walaupun sedikit.” (Riwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Aisyah.)

solat tahajjud

3. Ganti Solat Tertinggal

Pengertian qada’ menurut bahasa ialah menunaikan dan membayar. Menurut istilah pula ialah menunaikan ibadat di luar waktunya atau masih di dalam waktunya. Mereka yang meninggalkan solat sama ada sengaja atau tidak, diwajibkan mengqada’kan solat itu di luar waktunya. Meninggalkan solat tanpa uzur yang syarie’ dianggap berdosa. Uzur yang dibenarkan ialah dua perkara iaitu terlupa dan tertidur.

Mereka yang meninggalkannya sama ada terlupa atau tertidur atau sengaja, wajib bertaubat kepada Allah SWT dengan taubat yang bersungguh-sungguh. Taubat tidak akan diterima selagi tidak memenuhi syarat-syarat taubat iaitu, tidak lagi meninggalkan solat dalam keadaan bagaimana sekalipun, menyesal di atas segala perbuatan maksiat khususnya solat yang ditinggalkan dan berazam tidak akan mengulangi semua keburukan pada masa akan datang. Wajib ke atasnya mengqada’ semula solat-solat yang telah ditinggalkan.

solat tertinggal

Para ulama sepakat bahawa mengqada solat itu wajib bagi orang yang lupa atau tertidur. Begitu juga meninggalkan solat dengan sengaja maka menurut mazhab jumhur ia berdosa dan wajib mengqadha. Menurut Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Syafie, orang yang meninggalkan solat wajib mengqadanya. Bahkan Imam Malik dan Imam Abu Hanifah mengatakan bahawa barangsiapa meninggalkan solat atau beberapa solat, ia boleh mengqada sebelum solat yang waktunya hadir. Ini bila solat yang ditinggalnya itu lima kali solat atau kurang, baik waktu hadir itu sudah habis atau belum. Tetapi kalau lebih dari lima waktu, maka supaya dimulai dengan solat yang hadir waktunya itu.

Mengenai niat, cukup dengan menanamkan niat dalam hati bahawa solat yang akan kita kerjakan itu merupakan solat qada dari solat-solat tertentu yang tertinggal.

Para ulama sepakat bahawa mengqadha’ solat itu wajib bagi orang yang lupa atau tertidur, sebagaimana dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW: “Sebenarnya bukanlah termasuk lalai kerana tertidur. Kelalaian itu ialah di waktu bangun. Maka apabila seseorang lupa solat atau ia tertidur, hendaklah ia melakukannya jika telah ingat atau sedar”. Orang yang pengsan, tidak perlu mengqadha’ solatnya, kecuali bia ia sedar itu cukup waktu untuk bersuci dan bersolat.

Adapun orang yang meninggalkan solat dengan sengaja, maka menurut mazhab Jumhur ia berdosa dan wajib mengqadha’. Sebaliknya Ibnu Taimiyah berkata: “Orang yang sengaja meninggalkan solat, tidaklah diperintah oleh syarak mengqadha’ dan jika diqadha’ juga maka tidak sah, hanya ia harus memperbanyak solat sunat”.

Kemudian menurut Abu Hanifah, Malik dan Syafei berpendapat bahawa ia harus mengqadha’ bila waktunya habis, bahkan Imam Malik dan Imam Abu Hanifah mengatakan bahawa barangsiapa yang meninggalkan solat atau beberapa solat, ia boleh mengqadha’ sebelum solat yang waktunya hadir, ini bila yang sengaja ditinggalkan itu lima kali solat atau kurang, baik waktu hadir itu sudah habis atau belum. Namun kalau lebih dari lima waktu, maka dimulai dengan solat yang hadir waktunya itu.

Jomla kita sama-sama amalkan 3 jenis gst ini yang pastinya akan memberikan banyak manfaat untuk kita dunia dan akhirat.

Semoga bermanfaat, salam sayang..

~~ Aniey Yusoff

4 Comments

  1. Shidah Abdullahsays: Reply

    Hebatnya penulisan ani..

    • Aniey Yusoffsays: Reply

      Tq kak shidah tp mana ada hebat pun hihi..tulis utk ingatan diri sendiri kan 🙂

    • Aniey Yusoffsays: Reply

      Alhamdulillah MD..sama2 kita amalkan 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

TrackBack URL

http://anieyyusoff.com/3-jenis-gst-yang-kita-wajib-ambil-tahu/trackback/

PAGE TOP